Wednesday, December 16, 2009

Laos 1 - Malaysia 3


Assalamualaikum...

Buat kesekian kalinya aku menulis tentang bola sepak Malaysia. Kali terakhir aku pergi ke stadium melihat Malaysia main ialah pada tahun 2001, perlawanan final Sukan SEA di Stadium Shah Alam. Keputusannya sungguh mengecewakan dimana Malaysia kecundang 0-1 kepada Thailand hasil jaringan sendiri penjaga gol Malaysia. Pada malam tu aku punya la frust menonggeng. Sukar untuk menggambarkan kekecewaan aku.

Kita tutup sejarah lama. Kita buka cerita baru. Malaysia berjaya buat kali ke 10 layak ke final bola sepak Sukan Sea yang berlansung di Laos ketika ini. Ini satu perkara yang membanggakan. Skuad Bawah 23 Negara melangkah ke final setelah melalui ranjau yang berliku. Diperingkat kumpulan mereka berjaya menafikan kehebatan Thailand di perlawanan terakhir yang menentukan pasukan manakah yang layak ke separuh akhir. Walau pun peluang Malaysia sudah tertutup rapat, namun pada perlawanan terakhir menentang Thailand mereka membuktikan tiada apa yang mustahil di dalam bola sepak. Ketika Thailand hanya memerlukan keputusan seri bertemu Malaysia dan mereka mendahului sehingga minit ke 80 perlawanan, ternyata itu belum cukup untuk Thailand bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. 10 minit terakhir di manfaatkan oleh anak buah K. Rajagopal untuk menjaringkan 2 gol sekali gus mematikan langkah Thailand untuk ke separuh akhir.

Itu cerita di peringkat kumpulan. Apabila layak ke seperuh akhir, Malaysia dijadual bertemu tuan rumah, Laos. Satu lagi ujian getir yang menanti pemain Malaysia. Mereka bukan sahaja berhadapan dengan pemain Laos yang memiliki kepantasan, malah ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Stadium Nasional di Vientane. Misi Malaysia kini ialah melangkah ke peringkat akhir. Secara teknikal, Malaysia mempunyai sedikit kelebihan. Namun, percaturan taktikal amat penting di dalam perlawanan penting sebegini rupa. Malaysia berjaya menguasai babak pertama perlawanan. Hasilnya jaringan cantik Badrol Bakhtiar menerusi sepakan gunting yang dilakukan dalam kotak penalti. Gol tu memang aku respect. World class!!! Di dalam 'off-position' pun die mampu untuk melakukan sepakan gunting. Malaysia di dedan sehingga tamat separuh masa pertama. Masuk separuh masa kedua, aku memang dah jangkakan bahawa Laos akan bermain mati-matian. mereka tidak henti-henti mengasak kubu Malaysia. Pertahanan Malaysia bertahan dengan begitu baik. Namun rembatan jauh daripada pemain Laos pada minit 72 terus menerjah gawang gol Malaysia. Aku mulai panik. Kerana gol tersebut pastinya akan meningkatkan semangat pemain-pemain Laos.

Dalam keadaan genting seperti ini, pemain-pemain seharusnya tenang dan tidak terlalu tertekan atau ghairah dalam mencari gol. Ini yang ditunjukkan oleh pemain Malaysia di mana apabila Laos berjaya mengikat kedudukan, mereka menyerang seperti biasa. 5 minit selepas Laos menjaringkan, tiba-tiba lanbungan S.Kunalan terkena palang gol. Sekali lagi Badrol berada di kedudukan yang tepat dan menyambar bola yang melantun daripada palang tersebut. Stadium Nasional kembali sunyi. Yang kedengaran hanyalah sorakan penyokong Malaysia yang tidak sampai 300 orang. Gol tersebut menambahkan lagi keyakinan pemain Malaysia. Malaysia terus mengasak dan pada masa yang sama Laos sangat tertekan untuk mencari gol penyamaan. Sedang asyik Laos menyerang ke kubu Malaysia, Malaysia melancarkan satu serangan balas. Larian solo Nor Shahrul Idlan disebelah kiri berjaya menggelecek 2 pemain Laos sebelum mengumpan kepada Safiq Rahim untuk menjaring kan gol ke 3 Malaysia. Kali ini Malaysia sudah hampir pasti ke perlawanan Akhir. Aku pun mampu untuk menarik nafas lega dengan kedudukan ini. Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan itu, Malaysia mengesahkan slot perlawanan Akhir. Lawan Malaysia di perlawanan akhir nanti adalah Vietnam. Vietnam berjaya membelasah Singapura 4-1. Ia merupakan isyarat kepada Malaysia tentang kekuatan yang dimiliki oleh Vietnam. Vietnam memiliki kepantasan di bahagian serangan. Mereka mempunyai asas kemahiran bolasepak yang kukuh. Selain bijak menyempurnakan peluang yang terhidang. Kekuatan fizikal juga memihak kepada Vietnam.Lagi satu kelebihan yang yang dimiliki ialah percaturan taktikal oleh jurulatihnya. Perlawanan penting seperti perlawanan akhir Sukan Sea, taktikal memainkan peranan yang cukup penting.

Oleh yang demikian, saranan aku kepada K. Rajagopal ialah, beliau perlu bijak membaca perlawanan. Perlu bermain dengan taktikal dan tidak bergantung harap sepenuhnya kepada keupayaan pemain. Ini kerana, jika kita bandingkan kemampuan pemain Malaysia dengan Vietnam memang kita kalah. Bola sepak merupakan permainan mental dan fizikal. So, kita perlu gunakan kedua-duanya sekali.

Bagi pemain pula, aku ingin menasihatkan supaya mereka bermain dengan keras sedikit. Dengan bermain dengan sedemikian, ia akan dapat meningkatkan keyakinan para pemain apabila berhadapan dengan pihak lawan.

Akhir kata, aku mendoakan yang terbaik untuk pasukan Negara. Insya Allah, jika kita bersungguh-sungguh, pasti kejayaan akan menjadi milik kita, Amin......